Apakah Hukumnya Tidur Selepas Subuh?


Hukum tidur selepas subuh serta dalil-dalil dan bagaimana kesannya kepada pekerja yang bekerja di awal waktu malam hingga lewat subuh?


Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh. Oleh itu, hukum tidur selepas subuh kekal harus kerana tiada dalil yang menghalangnya.

Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas subuh.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya, "Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan)." Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari.

Daripada Jabirah bin Samurah RA maksudnya, "Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit." Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah." Hadis riwayat al-Tirmizi (586) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.

Jelas melalui hadis-hadis di atas, Nabi SAW amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa lebih-lebih lagi di awal pagi bagi seseorang muslim.

Ini dilihat dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Bari yang mana telah disebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh dan amalan-amalan diangkat dipenghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati rezeki dan amalannya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat. Kami juga dikhabarkan bahawa Buya Hamka juga tidur selepas subuh.

Setakat pengamatan kami juga, hadis-hadis yang menceritakan tentang larangan serta cemuhan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan sama ada terlalu lemah statusnya ataupun bertaraf palsu.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh.

Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.

Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh maka jawab al-Imam Malik, “Aku tidak mengetahui akan pengharamannya.

Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut”.

Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.

Wallahu a’lam.

Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan






Sumber : sentiasapanas.com



via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment