'Ya Allah, peliharalah Amar, tabahkanlah hati ibu dan ayahnya...'



Kisah ini, Kak Pah tulis dengan izin, Dari jauh Kak Pah melihat dia di atas troli barang. Posisinya agak jauh dari kawan-kawan yang lain. Langkah Kak Pah terhenti di hadapannya dan dengan mesra Kak Pah menyapa dia. Tiba-tiba satu tamparan singgah di muka Kak Pah. Terpaku Kak Pah. 

"Allah Kak Pah, minta maaf banyak-banyak Kak Pah." 

Kak Pah terkedu, terasa berpinar mata. Ngilunya seluruh muka. Ibunya berkali-kali memohon maaf. Jelas terbayang rasa bersalah yang teramat sangat di wajah si ibu. Hati Kak Pah berbelas hiba. 

Tangannya terus merewang ke merata arah dan tiba-tiba kakinya cuba menendang Kak Pah tetapi sempat dielak. 

"Kak Pah, maaf Kak Pah," kata si ibu. 

"Tak apa, dia tak tahu apa-apa. Dia tak salah," 

Dia, Amar, 7 tahun, autisme ADHD. Rupanya autisme ini terdiri dari berbagai jenis dan salah satu ciri utama ADHD ialah kekuatan tenaganya yang luar biasa. 

Amar dilahirkan normal sehinggalah dia berusia 7 bulan, dia diserang sawan. Pernah dimasukkan ke ICU dan akhirnya ketika usia dua tahun, dia dirujuk kepada pakar psikatari dan disahkan autisme. Namun kes seperti Amar jarang ditemui kerana dia tidak boleh mengambil apa-apa ubat untuk mengawal tingkah lakunya. Setiap ubat yang diambil akan memberikan kesan sampingan pada Amar.

Kini Amar berusia 7 tahun, si ibu tetap ingin memberikan yang terbaik buat Amar. Justeru, itulah Amar dimasukkan ke sekolah dan berada di kelas pendidikan khas dengan harapan menyiapkannya untuk masa depan, andai ibu atau ayahnya pejam mata.

Walaupun berada dalam troli, tangannya akan mencapai apa saja yang sempat. Jatuh berselerakan barang-barang. Bila ada kawan yang lalu berhampirannya, dia akan cuba menggapai. Apa yang dia pegang, tidak boleh diambil atau dirampas sama sekali. Dia akan menjerit dan menggelupur. 

Tangannya sepantas kilat mencapai apa saja yang ada di depan mata dan mampu terjangkau termasuk penggosok periuk aluminium itu. Kak Pah cuba tukar dengan botol air kerana bimbang bibirnya terluka. Kak Pah kira Kak Pah cukup selamat bila memegang kedua-dua belah tangannya. Tetapi dia dengan pantas menggigit tangan Kak Pah sekuat hati dan pegangan tangannya pun terlepas. 

Selama ini, rumahlah dunia Amar. Adiknya yang berusia 6 tahun itu saja yang dia kenali. Hanya 'mama', satu-satunya ayat yang mampu disebutnya. Justeru itu, apabila memulakan sesi persekolahan, Amar yang merupakan anak pekerja idaman itu sangat gembira kerana dapat keluar rumah. 

Kini Kak Pah faham, betapa sukarnya dugaan yang harus ditempuhi oleh ibu bapa anak autisme di luar sana. Sejujurnya Kak Pah sangat kagum dan terharu dengan ketabahan ibu muda ini. 

Di hadapan mata Kak Pah, beberapa kali Amar memukul ibunya. Namun si ibu tetap membalas dengan kata-kata mesra dan belaian kasih sayang. Bukan salah dia, dia insan suci yang tidak mengerti apa-apa. Alhamdulillah, ketika makan dia tidak agresif dan makan dengan berselera disuap oleh ibunya.

Dulu si ibu sering menangis, sedih memikirkan masa depan si anak. Malu dengan penerimaan masyarakat yang tidak memahami. Kini air matanya sudah kering, dia redha menerima ketentuan takdir.

Hari ini dia tidak mengharap banyak. Cukuplah kalau Amar boleh mengawal diri di khalayak, 

Baru-baru ini, doktor mengesahkan yang Amar juga ada dravet syndrom. Justeru itu, si ibu mengharapkan sokongan masyarakat di luar sana untuk bersama-sama membantu dan memberi peluang kepada anak-anak autisme in iuntuk menjalani rutin hidup seperti insan biasa.

Melihat rakan-rakan bermain di taman mainan, dia menjerit ingin bermain. Namun si ibu tidak membenarkannya kerana takut dia akan mencederakan rakan-rakan yang lain. Apabila rakan-rakan keluar meninggalkan taman itu, barulah si ibu membawa dan melepaskan dia bermain di sana sendirian.

Amar juga mempunyai naluri ingin bermain dan biarpun cuma bersendirian, kegembiraan jelas terpancar di wajahnya.

"Ya Allah, peliharalah Amar, tabahkanlah hati ibu dan ayahnya..." 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment