Tinggal bersama mertua di rumah keluarga suami adalah tidak sihat untuk menjaga aurat & hubungan hati

Gambar hiasan sahaja | Google Images

Banyak kes yang saya jumpa suami (biasanya yang muda-muda) salah faham dan salah laksana erti ketaatan kepada ibu selepas perkahwinan.

Taat kepada ibu tidak boleh sehingga menzalimi isteri.

Contoh begini, si ibu menyuruh anak lelaki selepas berkahwin untuk tinggal bersama di rumah tanpa ada keperluan yang mendesak seperti sakit tua yang perlu penjagaan rapi dan sebagainya. Di rumah suami pula, masih ada adik beradik suami yang lain, yang menyebabkan isteri merasa tidak selesa dan terpaksa menjaga aurat setiap masa.

Selain itu, isteri memang kena 'cover' setiap masa bersama ibu mertua, hendak melepek, terbongkang dan sebagainya memang tak sesuailah. Hendak didik anak dengan cara sendiri juga terkongkong sebab sentiasa ada mata yang memerhati.

Suami menyangka, 'perintah' ibu wajib dituruti, jadi isteri terpaksa ikut secara paksa rela dan menjeruk rasa setiap masa hingga setiap malam stress dan sakit kepala. Hendak membangkang dengan lebih keras, si isteri takut derhaka, jadi menderitalah si isteri memendam perasaan berendam air mata.

Jangan begitu wahai suami, benda begini boleh dibawa berbincang baik-baik, jelaskan baik-baik kepada ibu, doa banyak-banyak.

Isteri adalah amanah Allah, wajib dijaga sebaiknya, tinggal bersama mertua, terutamanya di rumah keluarga suami adalah amat tidak sihat untuk menjaga aurat dan hubungan hati. Kalau tak mampu lagi menjaga isteri sendiri, pulangkanlah dia kembali kepada walinya yang menjaga dia sejak kecil. Ketahuilah bahawa hati ayah kepada anak perempuan akan hancur luluh bila melihat puterinya menderita kesedihan selepas perkahwinan akibat perlakuan suami yang tak semenggah.

Ketaatan hanya dalam perkara makruf, taat kepada ibu hingga berlaku zalim kepada isteri dari segi aurat dan perasaannya secara sengaja dan sedar adalah haram dan berdosa.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment