Bila isteri dah ada 6 tanda meroyan ini, suami jangan cepat panik

Sesungguhnya, ilmu mengenai ibu-ibu meroyan selepas mengandung ini sangat penting untuk suami kerana merekalah individu yang utama bagi membantu isteri mereka menangani penyakit ini. Jangan hanya membiarkan isteri melakukan segala-galanya seorang diri selepas bersalin, sebagai suami anda perlu membantu mereka. 

Manfaatkan perkongsian ilmu dari doktor ini. Semoga dapat membantu para suami di luar sana.



Apa sebenarnya yang perempuan rasa bila meroyan?

Saya terkejut besar sehari dua ini bila baca Private Message (PM) dan komen-komen sahabat Facebook saya. Rupanya ramai perempuan yang dah ada tanda-tanda terkena penyakit meroyan tetapi orang sekeliling tak sedar dan tak ambil kisah pun. Lebih-lebih lagi suami sendiri.

Saya tahu mungkin para suami pada masa itu tengah pening untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam rumahtangga mereka. Pening fikirkan duit susu anak, jadual bertungku isteri, lauk pantang isteri, bila nak buat aqiqah baby dan banyak lagi. Tetapi kesihatan dalaman dan mental isteri tak boleh dipandang sebelah mata. Bahaya besar kalau terlepas pandang!

Si isteri pula kalau dah sedar diri itu ada tanda-tanda nak meroyan, perlulah segera maklumkan kepada suami. Beritahu elok-elok, jangan takut untuk beritahu suami sendiri. Suami sendiri kan, bukan orang luar pun. Kalau orang luar mungkin mereka akan ingat kita ini sudah gila, tapi kalau suami, biasanya dia akan cuba sedaya upaya untuk membantu kita dalaman mahupun luaran.

Antara tanda-tanda diri kita terkena penyakit meroyan yang teruk (Postpartum Psychosis) ialah:
  1. Mendengar suara yang entah dari mana menyuruh kita melakukan sesuatu ataupun mengkritik orang di sekeliling kita. Suara itu boleh berupa suara televisyen, suara radio ataupun suara manusia berbisik. Suara itu juga boleh berupa suara yang terngiang-ngiang di dalam kepala dan tak boleh dihilangkan walaupun dah bermacam cara dibuat untuk menghilangkannya.
  2. Tiba-tiba merasakan orang di sekeliling kita sedang berpakat untuk mencederakan atau menyakiti kita. Boleh jadi tiba-tiba kita curiga dengan orang yang selama ini kita percaya. Boleh jadi juga kita merasakan orang sekeliling kita cuba menyakiti dan membunuh baby kita.
  3. Secara tiba-tiba merasakan diri sendiri mempunyai kelebihan dan kekuatan luar biasa yang melebihi orang normal. Rasa diri sangat kuat dan tak perlukan tidur walaupun secara realitinya fizikal kita dah sangat lemah dan perlukan rehat tapi otak kita tak mampu berhenti berfikir.
  4. Merasakan ingatan, hafalan dan fokus makin tumpul. Kita susah nak fokus buat sesuatu perkara. Contohnya kita dah lupa resepi masakan yang biasa kita buat selama ini ataupun kita dah mula lupa jalan yang biasa kita gunakan untuk ke pasar raya ataupun pejabat.
  5. Kita merasakan masa bergerak terlalu pantas ataupun terlalu perlahan. Kita dah tak tahu tarikh, waktu dan tempat kita berada sekarang.
  6. Kadang-kadang kita merasakan ada sesuatu yang selalu merayap-rayap di seluruh permukaan kulit kita.
  7. Kita perasan yang orang terdekat kita mengatakan kita berkelakuan aneh padahal kita rasa normal saja. Boleh jadi kita tak sedar pun apa yang kita dah buat.
  8. Kita merasakan yang kita takkan boleh sembuh daripada penyakit meroyan ini dan jalan keluar yang terbaik adalah dengan membunuh diri.

Bila kita ataupun suami kita perasan yang kita dah ada tanda-tanda meroyan ini, jangan cepat panik! Kebanyakan orang yang mengalami Postpartum Psychosis ini boleh sembuh secara sempurna. Kebanyakan yang meroyan ini pun biasanya mengalami delusi ataupun halusinasi yang tak memudaratkan diri dan bayi. Hanya 5% saja yang dikaitkan dengan bunuh diri (suicide rate) dan hanya 4% saja yang melakukan pembunuhan anak kandung sendiri (infanticide).

Suami pula bila isteri dah ada tanda-tanda meroyan ini, janganlah buat tak tahu je. Meroyan tahap dah rasa nak bunuh diri ataupun rasa nak bunuh anak sendiri perlu segera dibawa ke kecemasan. Sila jumpa doktor di bahagian kecemasan (Emergency Department) dan ceritakan simptom dan perkara yang dialami isteri.

Ingat! Sokongan suami sangat diperlukan oleh si isteri. Lebih-lebih lagi masa dalam tempoh berpantang. Saya percaya sikap suami masa merawat isteri dalam pantanglah yang akan menentukan tahap meroyan si isteri. Saya percaya suami yang tak meminggirkan isteri dan merawat isteri dengan penuh cinta dan kasih sayang semasa dalam tempoh berpantang akan membuatkan hati isteri menjadi tenang dan sekaligus akan menjauhkan isteri daripada penyakit meroyan yang dahsyat ni.

P/S: Saya Taufiq Razif doktor biasa saja tapi isteri saya yang sekarang doktor di Bahagian Kecemasan pesan, 

"Kalau ada tanda-tanda meroyan ringan macam mood swing yang teruk dan menangis tak berhenti tanpa sebab, bolehlah ke Klinik Kesihatan yang berdekatan dulu. Nanti doktor di sana akan rujuk pada kaunselor untuk sesi terapi ye".

Sila tag dan share pada pasangan masing-masing ye. Bagi saya, semua suami di dunia ini kena tahu ilmu tentang meroyan ini. Barulah hati isteri tenang bila dapat suami yang ada ilmu untuk merawat dan membantu isteri masa tempoh berpantang, kan.

Jom bantu isteri kita melalui tempoh berpantang dengan penuh tenang dan tenteram ye.

Artikel berkaitan: 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment