Kerongkong & Saluran Pernafasan Kanak-Kanak Terbakar Akibat Terminum Cecair Pencuci Paip Di Kedai


MANCHESTER, ENGLAND - Seorang ibu bimbang anak lelakinya tidak akan dapat bercakap lagi selepas mengalami beberapa kecederaan serius akibat terminum cecair pencuci paip sinki di sebuah kedai. 

Pada hari kejadian, Ayman Faisal yang diletakkan di dalam strollernya pergi ke sebuah kedai, Safa Superstore, di Moss Side bersama ibunya, Saira. 

Ketika Saira sedang mengambil sesuatu, Ayman yang berusia dua tahun itu telah mengapai dan meminum sebotol cecair pencuci paip sinki yang mengandungi soda kaustik. Akibatnya, Ayman dikejarkan ke sebuah hospital di Manchester kerana mulutnya, saluran udara, kerongkong serta perutnya 'terbakar'. 

Ayman yang kini berusia 6 tahun kini tidak dapat bercakap dan terpaksa diberi makan menggunakan tiub. Keluarganya juga kini sedang dalam proses memfailkan saman terhadap kedai dan pengeluar produk tersebut. 

Menurut Saira, botol itu sepatutnya tidak dapat dibuka kerana ada penutup khas bagi mengelakkan kanak-kanak membukanya. Namun penutup itu tidak berfungsi dan dengan mudah dibuka oleh anaknya. 

Sementara itu, pihak kedai dan pengeluar produk berkenaan enggan memberi sebarang komen mengenai kejadian itu. 

"Pada hari itu, kami dalam perjalanan pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Kemudian saya teringat yang kami perlu beli beberapa barang keperluan, lalu pergi ke kedai tersebut. 

"Ayman diletakkan pada strollernya dan saya pada ketika itu sedang cuba mengambil sesuatu. Hanya dalam beberapa saat, bila saya toleh ke belakang, saya ternampak bibirnya menjadi ungu dan biru serta ada darah yang keluar dari mulutnya. 

"Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya masa itu, namun saya tahu mesti ada sesuatu yang buruk telah berlaku padanya. Saya menjerit memanggil kakitangan kedai, sambil menelefon ambulans. Saya terkejut dan dalam kepala kerap mengulangi ayat seperti, 'Janganlah ambil nyawa anak aku!'," katanya. 

Ayman kemudian dibawa ke Hospital Diraja Kanak-Kanak dan ditempatkan di bawah Unit Pemantauan Rapi (ICU) selama beberapa bulan. Ayman kemudian dipindahkan ke wad umum selama 6 bulan selepas insiden berkenaan yang berlaku pada Januari 2013. 

Doktor telah meletakkan tiub kekal di lehernya agar Ayman dapat bernafas dan juga tiub makan di perutnya supaya kanak-kanak itu dapat menikmati makanannya. 

Ibu Ayman yang juga melecur di bahagian tangan dan kaki, mengambil keputusan untuk bersuara selepas mendapat ada kanak-kanak yang lain turut mengalami kejadian yang sama dengan anaknya. 

"Ketika Ayman berada di hospital, saya diberitahu bahawa ada kanak-kanak lain yang juga ditimpa kejadian sama, oleh produk yang sama. 

"Sudah terlambat untuk mengubah apa yang berlaku pada anak saya. Tetapi saya berharap dengan tindakan undang-undang yang saya ambil ini akan dapat membendung kejadian seumpama ini berlaku pada kanak-kanak lain. 

Saira dan anaknya, Ayman 
Ayman kini hanya boleh makan dan minum susu khas dengan nutrien yang diperlukan sahaja melalui tiub di perutnya. 

Ayman tidak dapat bercakap namun telah belajar bahasa isyarat sebagai cara untuk berkomunikasi atau menggunakan alat elektronik yang sama seperti digunakan oleh Stephen Hawking. 

Menurut peguam mereka, kanak-kanak berusia dua tahun itu sepatutnya tidak dapat membuka penutup botol produk tersebut yang dibekalkan oleh pengeluarnya, Active Brand Concepts Ltd dan ia sepatutnya diletakkan di tempat yang sukar digapai oleh kanak-kanak. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment