BAGAN SERAI - Seorang murid lelaki SK Teluk Medan, maut dirempuh sebuah lori yang membawa muatan makanan ayam di hadapan sekolahnya, pagi tadi, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa, Mohammad Haikal Helme, 11, yang sedang melintas jalan untuk memasuki sekolahnya dirempuh dan digilis lori tersebut di hadapan ibunya sendiri.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa maut serta merta di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ayah mangsa, Helme Ahmad, 53, tidak dapat menahan perasaan sedih akan kehilangan anak bongsunya itu.
"Arwah amat rapat dengan ibunya dan dihantar ke sekolah setiap hari oleh ibunya. Arwah tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sentiasa ceria bersama adik beradiknya.
"Sehingga kini, isteri saya masih trauma dengan kejadian itu. Namun kami sekeluarga redha dengan pemergian arwah anak," katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Jenazah Allahyarham Mohd Haikal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tinggi, selepas waktu solat Zohor.
Isnin lalu, seorang murid SK Santong Paka, berusia 10 tahun yang sedang menyeberang jalan ke sekolahnya, maut dirempuh kereta di hadapan mata ibunya sendiri di Dungun, Terengganu.
Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan untuk menghantar anak di hadapan pintu pagar sekolah, bukan di seberang jalan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang kembali. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment