'Nenek tiu bawa saya ke pondoknya' - Lelaki sesat 10 jam di hutan


DUNGUN, TERENGGANU - Seorang lelaki yang sesat hampir 10 jam, ketika menahan ikan di kawasan tasik di hutan Kampung Serdang, kelmarin, berjaya ditemui jam 7 pagi semalam, lapor Harian Metro

Mangsa, Zulfakar Hussin, 30, ditemui selamat selepas sesat berjaya keluar dari hutan itu dan mencerita ada beberapa perkara pelik yang berlaku ketika tempoh kehilangannya itu. 

Menurut Zulfakar, kejadian pelik itu mula berlaku selepas dia terpijak seekor ular sawa ketika mengangkat taut sebelum kaki kanannya tiba-tiba terasa sakit akibat terpijak sengat ikan. 

"Selepas itu saya ternampak seorang nenek sebelum dia meminta untuk menghisap kaki saya yang terkena sengat. 

"Saya dibawa nenek itu ke pondoknya dan hanya tersedar selepas terdengar azan Subuh dari sebuah masjid. 

"Saya cuba mencari jalan keluar sebelum menemui jalan besar dan melihat orang ramai termasuk anggota polis dan bomba berada di sekitar kawasan itu," katanya. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, sebelum kejadian itu, mangsa bersama dua orang rakannya masuk ke dalam hutan berkenaan lebih kurang jam 8 malam Khamis. 

"Difahamkan ketika mengutip ikan pada taut dipasang, mangsa dikatakan terpijak sengat ikan sebelum berkelakuan pelik dan melarikan diri dari kawasan itu. 

"Pada masa yang sama, rakan mangsa yang pelik dengan tindakan mangsa, cuba mengejar mangsa. Namun gagal sebelum mereka membuat laporan untuk tindakan lanjut," katanya. 

Sepasukan anggota bomba bersama polis dan penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa di kawasan hutan tersebut. 

Mangsa bagaimanapun ditemui selamat apabila berjaya keluar dari hutan itu dan dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu di media sosial, netizen menasihatkan agar berhati-hati apabila masuk ke hutan lebih-lebih lagi bila di waktu malam. 

"Tidak ada yang mustahilnya dengan izin Allah. Sedangkan jin, syaitan dan iblis pun sebelum melakukan apa-apa kepada kita, mereka memohon izin dari Allah swt terlebih dahulu. Bila Allah izinkan, maka terjadilah ia. Kerana tujuannya satu iaitu agar kita tahu hanya Dia yang mampu membantu kita. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Dia," kata Alif Amran Aminuddin. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment