Kabsyah Binti Rafi’ Al-Ansariah: Arasy Allah Bergoncang Kerana Kematian Anaknya

Image result for perempuan berdoa


Kabsyah binti Rafi’ bin Ubaid al-Ansariyah atau nama lengkapnya, Kabsyah binti Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin al-Abjar al-Khudriyyah merupakan seorang wanita dari kalangan Ansar yang terawal beriman dan berbai’ah kepada dakwah Rasulullah SAW di Madinah.
Kabsyah ialah isteri kepada Mu’adz bin an-Nu’man al-Asyhali. Mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Sa’ad, Amru, Iyyas, Aus, Aqrab dan Ummu Haram/Hizam.
Kabsyah sentiasa mendorong anak-anaknya untuk berjihad mempertahankan Islam daripada serangan pihak musuh. Namun, hanya dua orang puteranya yang menonjol dalam medan perang, hinggakan menjadi pahlawan Islam terbilang, iaitu Sa’ad dan Amru. Antara perang yang disertai mereka berdua ialah Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak.
Suatu hari, Kabsyah menyuruh mereka menyertai Perang Badar dan mengharapkan agar kedua-dua anaknya itu beroleh syahid. Namun, Sa’ad dan Amru berjaya mengalahkan pasukan lawan dan pulang dengan selamat.
Seterusnya, semasa Perang Uhud, kedua anak Kabsyah berada di barisan hadapan dan ini amat menggembirakan hati Rasulullah SAW. Dalam peperangan ini, pihak Muslimin juga kalah dan anak Kabsyah; Amru bin Mu’adz syahid dalam peperangan itu.
Setelah perang selesai, ramai muslimah yang menemui Rasulullah termasuklah Kabsyah. Sa’ad bin Mu’adz yang terselamat dalam perang itu kemudiannya memperkenalkan ibunya kepada Rasulullah SAW. Kabsyah tahu, anaknya Amru bin Mu’adz sudah syahid namun beliau lebih mementingkan keselamatan Baginda berbanding anaknya sendiri.
Baginda mengucapkan takziah kepada Kabsyah atas pemergian anaknya dalam perang tersebut. Kabsyah menghampiri Rasulullah SAW dan berkata,
“Selagi aku melihat Tuan dalam keadaan selamat, maka semua musibah yang menimpaku akan menjadi sangat ringan.”
Rasulullah SAW berkata kepada Kabsyah,
“Wahai Ummu Sa’ad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga. Kesemuanya diberi syafaat untuk keluarganya.”
Dalam kalangan suku Bani Abdul Asyhal, Sa’ad bin Mu’adz diakui sebagai seorang ketua dan pemimpin yang amat disegani. Peristiwa pengislamannya tercatat dalam beberapa kitab sirah.
Suatu ketika, Sa’ad bin Mu’adz berdiri di hadapan kaumnya lalu berkata,
“Demi Allah. Sesiapapun di antara kalian sama ada lelaki atau perempuan, dilarang berbicara denganku melainkan dia telah menjadi muslim. Dan, Aku tidak akan berjalan di perkampungan bani Asyhal kecuali mendapati setiap lelaki dan wanita telah menjadi muslim dan muslimah!”
Lantas, pada waktu itu juga seluruh kaum Bani Asyhal memeluk Islam. Dan, menurut Ibnu Jauzi perkampungan Bani Asyhal merupakan perkampungan Ansar pertama yang menerima Islam.
Tidak lama kemudian, kaum Muslimin diajak untuk menyertai peperangan Khandak pula. Kali ini, Kabsyah hanya berharap pada Sa’ad untuk segera menyahut seruan tersebut, hinggakan beliau tidak menyedari baju besi milik anaknya itu sudah tidak sempurna bahkan, seluruh bahagian sikunya jelas terlihat.
“Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!” Ujar Kabsyah yang tidak henti-henti memberi kata-kata semangat kepada Sa’ad.
Dalam perang itu, Sa’ad bin Mu’adz terkena anak panah yang dilemparkan oleh Hibban al-Urqah sehingga memutuskan urat pada kakinya. Jadi, Perang Khandak adalah perang terakhir Sa’ad bin Muadz. Sekali lagi, Kabsyah diuji dengan kehilangan anaknya. Kematian Sa’ad bin Mu’adz ternyata telah menarik perhatian ramai, bukan sahaja di bumi bahkan di langit.
Ibnu Umar r.anhu meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda,
“Hamba soleh yang kematiannya telah menggoncang Arasy, membuatkan pintu-pintu langit terbuka dan 70,000 ribu malaikat hadir mengiringinya. Walhal, mereka belum pernah turun ke bumi seperti ini sebelumnya, berasa kesempitan kemudian Allah memberinya keluasan. Hamba soleh yang dimaksudkan itu adalah Sa’ad bin Mu’adz.”(Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
Sa’ad bin Mu’adz antara sahabat Nabi SAW yang turut dijamin syurga. Ketika jenazah Sa’ad bin Mu’adz diusung keluar, orang yang mengangkatnya berkata, “Wahai Rasulullah, kami tidak pernah mengangkat jenazah seringan ini.”
Rasulullah SAW bersabda, “Bagaimana tidak ringan, malaikat telah turun ke bumi. Mereka belum pernah turun dengan cara seperti ini sebelumnya dan mereka turut memikul jenazah Sa’ad bersama kalian.”
Alangkah beruntungnya Kabsyah, mempunyai dua orang putera yang syahid di jalan Allah. Lebih mengharukan apabila kematian anaknya Saad bin Mu’adz turut menggoncang Arasy Allah SWT. Suatu penghargaan yang tak ternilai harganya di sisi Allah.
Jasad Sa’ad bin Mu’adz dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’. Dalam kesedihan Kabsyah itu, Baginda SAW menghiburkannya dengan bersabda,
“Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya, anakmu adalah orang pertama Allah tersenyum kepadanya dan Arasy Allah yang Maha Pengasih bergoncang kerana kematian Sa’ad bin Mu’adz.”(Thabaqat Ibn Sa’ad 3/434)
Mendengarkan hal tersebut, Kabsyah kembali tenang dan gembira. Beliau hanya mengharapkan balasan kebaikan dari sisi Allah juga rasulNya atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’.
Baginda Nabi SAW turut mendoakan Kabsyah dengan doa yang istimewa,
“Ya Allah, singkirkanlah kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berikanlah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan.”
Nama Kabsyah binti Rafi’ bukan sahaja terkenal kerana keberanian dan kesabaran beliau dalam membela Rasulullah SAW, tetapi didikannya terhadap kedua-dua puteranya untuk berjuang di jalan Allah SWT.
Setelah menempuh perjalanan dan perjuangan yang panjang, Kabsyah akhirnya menyusuli kedua-dua orang puteranya menemui Allah SWT. Semoga Allah SWT meredai segala perjuangan dan pengorbanan mereka dalam membela Islam. Seterusnya, menjadi contoh bagi kaum Muslimin hari ini. Amiin.
Dari Anas bin Malik RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga.’ Ada seorang wanita yang berdiri lalu berkata, ‘Bagaimana dengan dua orang anak?’ Baginda kemudiannya menjawab, ‘Begitu pula dua orang anak’.”(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ahmad)
Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment