KULIM, KEDAH - Pasangan suami isteri maut selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kereta dan lori di Jalan Kulim, berdekatan Kampung Paya Serdang, jam 3 petang semalam, lapor Harian Metro.
Razak Saari, 66, dan isterinya, Robiah Mat Saman, 54, yang berniaga di pasar malam meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang.
Lima anggota, jentera bomba dan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan, semua mangsa dari kenderaan lain diselamatkan orang ramai yang kemudian dibawa ke Hospital Kulim dengan ambulans. Hanya dua mangsa tersepit di tempat duduk penumpang dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pembantu perubatan di tempat kejadian," katanya.
Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Wira, sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Dari laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku setelah sebuah kereta jenis Mazda yang dalam perjalanan dari arah Kulim ke Baling, hilang kawalan lalu bergesel dengan empat kenderaan lain termasuk sebuah lori yang menyebabkan kenderaan terlibat bertembung antara satu sama lain.
"Dua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira maut, sementara tiga lagi mangsa dipercayai sekeluarga yang menaiki Mazda berkenaan cedera.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Difahamkan, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun, Nur Syazarina yang bersekolah di SK Taman Hi-Tech.
Menurut Kamaral Azwa, pihak sekolah juga akan melancarkan tabung sumbangan kilat bagi meringankan beban anak mangsa. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment