Cuba merogol seorang wanita sebelum ditangkap semula


SHAH ALAM, SELANGOR - Kurang dari 24 jam selepas melarikan diri, suspek kes samun dan rogol yang melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara semalam, berjaya ditangkap di Kampung Baru Hicom, Shah Alam, jam 7 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil gerakan mengesan suspek secara besar-besaran termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9), akhirnya menemui suspek yang didapati bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Baru Hicom. 

Sebelum ditangkap, suspek dilaporkan cuba merogol seorang wanita di kawasan kampung itu. 

"Ketika ditahan, ada penduduk kampung menyatakan suspek cuba merogol adik perempuannya di sebuah rumah di kawasan berkenaan. 

"Suspek dan rakannya sepatutnya dituduh di mahkamah pada hari ini, tetapi disebabkan kes ini, kita akan tuduh mereka dalam masa terdekat," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 

Jam 3 pagi semalam, suspek bertindak melarikan diri melalui tandas selepas berpura-pura mahu membuang air. Dalam kesempatan itu, suspek mengopak jeriji besi pada tingkap tandas dengan mengikat seluar yang dipakainya pada jeriji sebelum menariknya untuk membuka ruang bagi melarikan diri. 

Pada 7 Jun lalu, suspek dilaporkan merogol seorang wanita berusia 34 tahun, ketika suami dan anak mangsa tidur di ruang tamu. 

Laporan berkaitan:
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment