Soalan: Dalam drama 'Menanti Februari', si suami telah hilang selama 6 bulan di laut. Si isteri berkahwin dengan lelaki lain dalam tempoh tersebut. Pada satu hari, suami yang hilang muncul kembali dan mengetahui isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain yang juga sahabat baiknya. Apakah hukum perkahwinan tersebut?
Jawapan:
Definisi Mafqud (Orang Yang Hilang)
Perkataan al-mafqud berasal dari bahasa Arab dari kata dasar fa qa da yang bermaksud tiada, hilang, dan lenyap[1]
Imam al-Syafie mendefinisikan mafqud sebagai: “Sesiapa yang tidak didengari khabar tentangnya”[2] Imam al-Nawawi menyatakan mafqud sebagai: “Orang yang terputus khabar berita dan tidak diketahui keadaannya semasa permusafiran atau keberadaannya dalam peperangan atau pada ketika kapal karam atau selainnya.[3]
Para ulama’ mazhab Syafie kontemporari menyatakan mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.” [4]
Tempoh Mafqud Dalam Mazhab
Tidak terdapat nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya.
Kebanyakan pendapat yang dinukilkan adalah bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapat-pendapat tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai hujah ijmak, kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan tabi’en. Namun keperluan kepada tempoh pencarian bagi mafqud adalah disepakati oleh para ulama’.
Nabi SAW memberikan panduan umum dalan isu ini dengan sabdanya:
امْرَأَةُ الْمَفْقُودِ امْرَأَتُهُ حَتَّى يَأْتِيَهَا الْبَيَانُ
“Isteri orang yang hilang, masih dianggap isterinya sehingga datang bukti yang nyata.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, no. 15565)
Sebelum menghuraikan tempoh mafqud di sisi mazhab Syafie dan mazhab-mazhab lain serta perundangan Malaysia, ingin kami jelaskan bahawa:
Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi. Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranyanya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.
Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan seperti berikut:
Pertama: Mazhab Syafie
Menurut qaul jadid (pandangan baru) Imam al-Syafie, tempoh menunggu bagi isteri agar dia boleh menikahi lelaki lain adalah sehingga ada kepastian suaminya telah meninggal dunia atau mentalak isterinya. Manakala menurut qaul qadim (pandangan lama) Imam al-Syafie, tempoh menunggu adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari.[5] Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.
Pandangan yang sahih lagi masyhur di kalangan ulama Syafie ialah ia terserah kepada ijtihad para hakim dalam menentukannya. Namun begitu, terdapat juga pandangan-pandangan yang mengatakan ia ditentukan selepas 68 tahun, 70 tahun, 80 tahun, 100 tahun dan 120 tahun.[6]
Kedua: Mazhab Hanafi
Dalam mazhab Hanafi, orang yang hilang dihukumkan sebagai mati apabila tiada seorang pun orang sezamannya yang masih lagi hidup di tempatnya tinggalnya. Namun begitu, ulama Hanafi tidak sependapat dalam menentukan umur seseorang yang boleh disabitkan telah meninggal dunia.
Bagi Imam Abu Hanifah, beliau mensabitkan orang yang hilang itu telah meninggal dunia apabila mencapai usia 120 tahun dan pendapat ini disokong oleh al-Qadwari. Abu Yusuf mengatakan apabila berusia 100 tahun, dan terdapat sebahagian mereka yang mengatakan semua itu tertakluk kepada ijtihad hakim dengan mengambil kira keadaan orang yang hilang dan bukti-bukti yang dikemukakan.[7]
Ketiga: Mazhab Maliki
Dalam mazhab Maliki, seseorang yang hilang di negara Islam boleh disabitkan telah meninggal dunia apabila mencapai tempoh menunggu selama 4 tahun. Selain itu, selepas tempoh ini juga, isterinya hendaklah melalui tempoh ‘iddah selama 4 bulan 10 hari bagi menghormati kematian suaminya dan kemudiannya dia boleh berkahwin dengan lelaki lain.
Jika sekiranya dia hilang di negara bukan Islam, maka dia tidak boleh disabitkan meninggal dunia melainkan dikemukakan bukti-bukti yang sahih atau umurnya telah mencapai satu usia yang mustahil terdapat orang yang masih hidup pada usia sedemikian. Bagi Imam Malik dan Ibn Qasim, usia tersebut lingkungan dalam 80 tahun. Ibn Arafah pula berpandangan, usia 75 tahun yang dikira. Terdapat juga sebahagian ulama’ mazhab Maliki yang berpendapat, ia sama seperti kes orang hilang di negara Islam.
Sekiranya seseorang itu hilang di dalam peperangan bersama orang kafir, Imam Malik dan Abu Qasim berpandangan bahawa isterinya hendaklah menunggunya selama 1 tahun dan kemudian menjalani ‘iddah. Terdapat juga pandangan dalam mazhab Maliki yang mengatakan hukumnya adalah sama seperti kes orang hilang di negara Islam.
Sekiranya seseorang itu hilang dalam peperangan sesama orang Islam, maka terdapat pelbagai pendapat dalam mazhab ini, antaranya ada yang mengatakan hendaklah isterinya menunggu selama setahun kemudian menjalani ‘iddah, dan juga terserah kepada ijtihad para pemerintah.[8]
Keempat: Mazhab Hanbali
Bagi ulama Hanbali pula, terdapat dua pendapat bagi seseorang hilang yang secara zahirnya pemergian itu adalah selamat:
Tidak akan terputus ikatan perkahwinan selagimana tidak disabitkan kematian suaminya.
Isteri itu hendaklah menunggu sehingga suaminya berusia 90 tahun dan ada juga riwayat yang mengatakan tempoh itu ditentukan oleh pemerintah atau mufti. Inilah pandangan yang sahih dalam mazhab Hanbali.
Bagi orang yang hilang yang secara zahirnya pemergian itu adalah membawa bahaya kepada si suami, maka isterinya hendaklah menunggu selama 4 tahun kemudian dia menjalani ‘iddah bagi kematian suaminya.[9] Bagi menentukan masa yang dapat dijadikan dasar untuk menilai mafqud telah meninggal dunia, ia hendaklah diserahkan pada pertimbangan hakim iaitu apabila dia hilang dalam waktu yang sekian lama sehingga sudah tidak ada lagi orang yang seusia dengannya di daerahnya yang mungkin masih lagi hidup.[10]
Tempoh Mafqud Berdasarkan Undang-Undang Syariah di Malaysia
Seksyen 806 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) memperuntukkan:
Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama empat tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, maka beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.
Peruntukan ini diperkukuh dengan seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang menyebut bahawa:
“Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52.”
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah dibincangkan pendapat para ulama’ di atas, pendapat yang terpilih di sisi kami dalam isu tempoh mafqud adalah ianya bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim. Ini selari dengan pandangan masyhur Syafi’iyyah dalam isu ini. Di samping itu, hendaklah meraikan akta yang ditetapkan di Malaysia melalui Mahkamah Syariah. Ini bermakna, jika penentuan hakim sehingga mengambil masa 4 tahun dan lebih, maka si isteri perlu menunggu dan dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah. Manakala jika selepas 6 bulan - sebagai contoh - sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.
Sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru). Ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman:
إِنْ جَاءَ زَوْجُهَا خُيِّرَ بَيْنَ امْرَأَتِهِ وَبَيْنَ الصَّدَاقِ الْأَوَّلِ
“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut”
(Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)
Berkenaan isu drama “Menanti Februari” yang timbul di media sosial baru-baru ini, jika suaminya hilang di laut (di Malaysia contohnya) maka keputusan tempoh mafqud itu tertakluk kepada keputusan hakim yang pastinya mengambil kira pandangan dan kajian Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab melaksanakan tugas mencari dan menyelamat maritim di Zon Maritim Malaysia dan di lautan lepas.
Maka, kami berpandangan bahawa:
Pernikahan si isteri dengan suami baru adalah tidak sah kerana tempoh mafqud yang dinyatakan adalah 6 bulan sahaja tanpa ada babak yang menunjukkan si isteri mendapat keputusan daripada mahkamah syariah berkenaan status perkahwinannya dengan suami yang hilang.
Isteri yang pertama masih dikira isteri yang sah bagi suami yang hilang kerana tempohnya tidak mencapai had tempoh mafqud.
Anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut. Ulama juga sepakat wajibnya ‘iddah dan sahnya nasab dari hasil pernikahan yang disepakati batalnya seperti menikahi isteri orang lain, jika di sana ada syubhah yang menyebabkan gugurnya hukuman zina, iaitu dia tidak mengetahui haramnya pernikahan tersebut. Oleh itu, pernikahan (yang batal) yang tidak dikira zina, maka anak itu dinisbahkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.[11]
Si isteri tidak boleh meminta fasakh kerana fasakh hanya boleh diminta kepada mahkamah jika suami hilang lebih daripada setahun sedangkan dalam drama berkenaan, suami baru hilang 6 bulan. Rujuk Seksyen 52 Perintah untuk Membubarkan Perkahwinan Atau Untuk Fasakh Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303
Penutup
Suami dan isteri perlu ada asas agama yang baik dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif dalam hal-hal kekeluargaan sekiranya tidak tahu. Nasihat kami kepada pengarah drama dan filem tanahair, sudah sampainya masanya pandangan pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diambil serius demi memartabatkan industri lakonan yang patuh syariah. Drama dan filem adalah satu medium yang sangat baik bagi menyebarkan pemahaman Islam dan nilai-nilai murni merentasi sempadan agama. Semoga Allah memberi kita pemahaman agama yang baik dan memelihara kita dan keluarga kita daripada sebarang hal yang menggoyahkan institusi rumahtangga.
Akhukum fillah
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
via Bin Usrah
Blogger Comment
Facebook Comment