Apakah Hukum Memakai ‘Contact Lens’ Berwarna Untuk Tujuan Kecantikan?


Asalnya, kanta lekap atau contact lens ini dicipta bagi membantu mereka yang rabun penglihatannya. Kanta lekap digunakan sebagai pengganti kepada cermin mata dan dipakai buang setiap bulan.

Dengan perkembangan industri fesyen dan kecantikan pada masa kini, contact lens berwarna semakin mendapat tempat di hati penggemar fesyen. Maka semakin ramai peniaga-peniaga yang kini menjual kanta lekap berwarna.

Kebiasaannya, kanta lekap ini tiada power untuk membantu penglihatan bagi mereka yang rabun. Sebaliknya, kanta lekap ini rekaannya berwarna seperti hazel, kelabu, hijau, biru, ungu dan sebagainya digunakan sebagai alat perhiasan khususnya buat kaum wanita.

Maka timbullah persoalan di sini; apakah hukumnya memakai kanta lekap yang berwarna bagi tujuan perhiasan?

Dalam satu pendapat, hal ini telah dibincangkan di dalam buku ‘Fiqah Kecantikan’ yang disusun oleh Dato Dr. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim dan Ahmad Dahlan bin Salleh.

Di dalam buku ini, tertulis bahawa hukum memakai kanta lekap berwarna ini adalah berdasarkan keizinan suami. Seorang wanita dibolehkan memakai kanta lekap berwarna untuk perhiasan di hadapan suaminya, dan dengan keizinannya.

Bagi seorang perempuan yang belum berkahwin, atau telah berkahwin tetapi tidak mendapat keizinan suaminya, memakai kanta lekap berwarna tanpa keperluan seperti untuk kelihatan cantik semata-mata atau yang sesuai dengan warna bajunya, tidak harus memakai kanta lekap tersebut ketika berada di hadapan orang ramai.

Dalam pendapat ulama yang lain pula, pemakain contact lens berwarna ini adalah haram. Ini kerana, pemakaian contact lens berwarna cenderung kepada perhiasan semata-mata untuk tampil lebih menarik dan berunsur penipuan sekiranya berbeza daripada warna asal mata.

Makanya, penggayaan contact lens berwarna ini sebaik-baiknya bukan untuk tontonan umum seperti yang berlaku sekarang terutamanya di media sosial. Tambahan pula, contact lens jenis jernih tersedia untuk kita gunakan jika mahu menggantikan cermin mata.

Sementara kita membincangkan topik ini, pihak kami terpanggil untuk mengingatkan para pembaca bahawa kanta lekap ini sebenarnya adalah sejenis alat perubatan atau medical device yang memerlukaan penjagaan rapi oleh pengguna.

Individu yang mempunyai kondisi rabun yang ingin memakai kanta lekap pada asalnya hendaklah membuat pemeriksaan mata untuk memastikan mata mereka sesuai untuk dikenakan kanta lekap.

Biasanya, tiada pemeriksaan mata yang dibuat kepada mereka yang ingin memakai kanta lekap yang berwarna.

Jika tidak dijaga dengan baik, kanta lekap boleh menyebabkan kerosakan mata yang kekal. Meninggalkan pemakaian kanta lekap berwarna ini sebenarnya ada hikmah dari segi jaminan kesihatan mata.

Kesimpulannya, jika mahu menggayakan contact lens berwarna pakailah yang sepadan dengan warna asal mata kita. Memandangkan terdapat khilaf dalam pandangan ulama' dalam hal ini, lebih berat ke arah meninggalkan trend menggayakan contact lens berwarna di khalayak umum.

Ingatlah, dan pilihlah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Moga-moga kita diberi ganjaran yang baik apabila kita meninggalkan perkara yang kita suka demi mematuhi syariat Islam.

Sumber: ellezada.com

via Bin Usrah
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment