Marah ternakan diserang, lelaki Arab suap kucing pada 2 ekor anjing Rottweiler


DUBAI - Hanya kerana menyerang burung merpati dan ayam di ladang, seorang lelaki tergamak menjadikan seekor kucing sebagai santapan dua ekor anjingnya dipercayai jenis Rottweilers, lapor Daily Mail. 

Rakaman video yang menunjukkan kekejaman lelaki itu tersebar di media sosial mencetuskan kemarahan netizen dan pertubuhan kebajikan haiwan. 

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Dubai, Mejar Jeneral Khalil Ebrahim Al Mansouri berkata, pihaknya telah menahan lelaki terbabit dan menganggap kejadian itu sebagai 'perlakuan kejam dan pelik dalam masyarakat'. 

Doktor Manal Al Mansouri dari Kumpulan Kebajikan Haiwan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, tindakan lelaki itu adalah pembunuhan yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. 

"Dia tidak sepatutnya menyalah kucing itu di atas kematian merpati dan ayamnya, kerana haiwan itu mengikut lumrahnya sebagai kucing. Dia yang patut dipersalahkan kerana gagal menjaga ladangnya dengan baik," katanya. 

Berdasarkan video viral tersebut, sebaik saja pintu sangkar kecil itu dibuka, salah seekor anjing itu terus menerkam dan menarik keluar kucing itu dari sangkar. Kucing malang itu cuba melawan dengan mencakar dan menggigit anjing itu, namun tidak berdaya berbuat demikian kerana dadanya telah digigit dengan kuat sebelum dihempas ke dinding dan lantai.






Lelaki berkenaan akan didakwa mengikut akta baru kebajikan haiwan UAE yang digubal tahun lalu, yang membawa hukuman sehingga penjara setahun atau denda antara 50,000 dirham (RM60,572) hingga 200,000 dirham (RM242,288). - The Reporter

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment