HULU SELANGOR - Polis menahan seorang remaja perempuan 19 tahun yang dipercayai cuba membuang bayi lelaki yang baru dilahirkannya di belakang kediamannya di Bandar Utama, Batang Kali, awal pagi semalam, lapor Bernama.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata, pada awalnya remaja berkenaan mendakwa menemui bayi lelaki yang masih bertali pusat dibalut dengan kain hitam itu tergantung pada jeriji tingkap biliknya selepas mendengar tangisan bayi itu pada jam 7.30 pagi.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan yang merupakan anak perempuan kepada pemilik rumah berada dalam keadaan yang mencurigakan dan lemah menyebabkan polis menahannya untuk membantu siasatan.
"Ketika disoal-siasat, remaja itu akhirnya mengakui melahirkan bayi itu di dalam biliknya pada jam 6.45 pagi. Kelahiran itu hasil hubungan dengan teman lelaki.
"Remaja itu menipu ibunya dengan menyatakan bahawa dia menemui bayi itu pada jeriji tingkap di belakang rumahnya," katanya.
Susulan pengakuan mangsa, polis turut menahan seorang lelaki berusia 17 tahun, teman lelaki remaja berkenaan untuk membantu siasatan.
Remaja perempuan itu turut ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pemeriksaan dan rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. - The Reporter
Artikel berkaitan:
Artikel berkaitan:
Blogger Comment
Facebook Comment