Timb. Menteri pandang serius dakwaan Kim Jong-Nam mati akibat makanan kotor di Malaysia


PUTRAJAYA - Sebuah akaun Twitter parodi, DRPK News Service (@DRPK_News), mendakwa abang tiri kepada Kim Jong-UN, mati akibat penyediaan makanan di Malaysia yang kotor. 

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memandang serius dakwaan itu dan menggesa pegawai kementeriannya menjalankan siasatan segera kerana dakwaan itu boleh menjejaskan nama baik negara di mata dunia kononnya makanan di negara ini tidak selamat dimakan, lapor Sinar Harian

Tweet akaun Twitter itu lagi, Kim Jong-Un berikrar akan mencari pembunuh abang tirinya, Kim Jong-Nam, dan akan menghapuskan mereka seorang demi seorang dengan seni pertahankan diri, taekwondo. 

Sementara itu, suspek wanita kedua telah ditahan awal pagi ini dan suspek merupakan pemegang pasport Indonesia, bernama Siti Aishah yang dilahirkan di Serang, Indonesia pada 11 Februari 1992. 

Lapor Sinar Harian, Siti Aishah bersama suspek pertama, Doan Thi Houng, 29, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, Doan dalam keterangannya kepada pihak berkuasa mendakwa, rakan subahatnya memaklumkan bahawa serangan itu hanya satu gurauan sahaja.

"Mereka beritahu saya ia adalah gurauan, saya tidak tahu ia bertujuan membunuh orang," katanya., 

Jelas Doan lagi, ketika tiba di KLIA 2, 4 lelaki yang datang bersama mereka memberitahu akan mengenakan penumpang dengan gurauan sebelum mengarahkan mereka menyembur muka Kim Jong-Nam dengan sejenis cecair dan menyerkup muka lelaki itu dengan sapu tangan. 

Reuters semalam melaporkan Korea Utara cuba menghalang pihak berkuasa Malaysia melakukan proses bedah siasat terhadap mayat Kim Jong-Nam dan menuntut mayat berkenaan diserahkan kepada mereka segera. Namun tuntutan mereka tidak diendahkan. 

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rahsid Ibrahim berkata, insiden itu berlaku di Malaysia dan pihaknya perlu menjalankan siasatan terperinci dan bedah siasata adalah sebahagian daripada prosedur. 

Lapor Harian Metro, proses bedah siasat mayat mangsa telah selesai jam 7.30 malam semalam. Namun Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian. 

Polis kini sedang memburu empat lagi suspek lelaki bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu. 

Kim Jong-Nam diserang pada Isnin lalu ketika berada di KLIA 2 pada jam 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengadu kurang sihat. - The Reporter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment