'Bayangkan kalau kamu lap tangan mereka buat kali terakhir, masih mahukah derhaka?' - Cikgu



Hari ini saya buat ceramah motivasi Hipers bersama calon-calon UPSR 2017 dan ibu bapa mereka. Saya cuba buat kelainan sedikit dalam slot sentuhan kalbu. Setiap murid dibekalkan sekeping tisu basah di pertengahan program. 

Waktu itu, mata anak-anak sudah berkaca dan mengalir bening air jernih di pipi. Saat mereka ingin mengelap air mata, saya pun berkata,

"Jangan kamu lap tisu itu pada mata kamu. Tisu basah itu bukan untuk kamu. Pegang tangan ibu dan bapa, cikgu mahu kamu gosok tangan ibu bapa kamu bersih-bersih.

"Lihatlah tangan itu yang menyuap kamu makan semasa kamu masih kecil. Tangan yang kamu lap itulah tangan ibu yang membuat susu untuk kamu, memimpin kamu ke sekolah, menyarung baju malah membasuh najis kamu semasa kamu masih kecil. 

"Tangan ayah kamu yang berdaki dan berkedut itu yang mencari rezeki untuk makan anak-anaknya. Yang bekerja keras membanting tulang untuk keluarga. 

"Bayangkan kalau kamu lap tangan ibu dan bapa kamu buat kali terakhir, bagai memandikan jenazah mereka. Apakah kamu masih mahu derhaka?" soal saya. 

Maka berderailah air mata ibu bapa. Mereka berpelukan dan menangis bersama-sama. Semoga air mata ini menyucikan hati anak-anak semua. 

Terima kasih kepada ibu bapa SK Engkilili No 1 kerana hadir dan komited dalam program ini. Tahniah kepada Guru Besar Encik Ugil kerana mengambil langkah proaktif membina motivasi murid. Terima kasih jawatankuasa pengelola yang terdiri dari guru-guru dna AKP SK Engkilili No 1 yang melaksanakan motivasi ini. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment