بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Sifat Nifaq
Nifaq ialah memperlihatkan perbuatan yang tidak selari dan sesuai dengan isi hati seseorang itu. Orang yang melakukan perbuatan nifaq disebut ‘Munafiq’. Nifaq atau kemunafikan adalah suatu sifat yang ada di dalam hati manusia dan tidak dapat diketahui oleh orang lain. Ada dua sifat nifaq iaitu Nifaq Besar dan Nifaq Kecil.
.
A. Definasi
.
Asalnya Nifaq (اَلنِّفَاقُ) atau kemunafikan dari Bahasa Arab (نَافَقَ-يُنَافِقُ-نِفَاقاً ومُنَافَقَةً) yang diambil dari kata النَّافِقَاءُ (naafiqaa’) yang bermaksud lubang tempat keluarnya yarbu’, iaitu haiwan seperti tikus yang mempunyai lebih dari satu lubang sehingga apabila dia dikejar melalui satu lubang akan lari menuju lubang yang lain.
Dalam istilah syariat, ‘Nifaq’ bermaksud perbuatan menampakkan keislaman dan kebaikan tetapi menyembunyikan kekafiran serta keburukan. Diistilahkan demikian kerana pelakunya masuk ke dalam agama Islam dari sebuah pintu dan keluar darinya melalui pintu lain. Dalam istilah bahasa, nifaq sering disebut kemunafikan.
.
.
B. 2 Jenis Sifat Nifaq
.
Sifat Nifaq terbahagi kepada dua kategori iaitu nifaq besar dan nifaq kecil.
.
1. Nifaq I’tiqadi (Nifaq Besar)
.
‘Nifaq I’tiqadi’ adalah kemunafikan yang bersifat keyakinan. Ia merupakan nifaq besar iaitu seseorang yang menyembunyikan keyakinan kafir lalu menampakkan keislaman. Seolah-olah ia beriman padahal dalam hatinya menyimpan keyakinan kafir.
Nifaq besar ini juga seseorang Muslim yang menunjukkan di luar sahaja sebagai benar-benar keislaman dan keimanannya, tetapi dalam hatinya adalah sebaliknya iaitu menampakkan keislaman dengan lisannya, tetapi sebenarnya hati dan jiwanya mengingkari dan menafikannya.
.
Perbuatan yang termasuk nifaq besar di antaranya:
- Mendustakan Rasulullah ﷺ (dan ajaran baginda sama sekali), atau membohongi sebahagian daripada segala ajaran yang telah Baginda sampaikan.
- Membenci ajaran Rasulullah ﷺ atau membenci sebahagian daripada ajaran yang baginda sampaikan.
- Merasa gembira ketika agama Islam dan Rasulullah ﷺ direndahkannya orang-orang sekeliling.
- Merasa gembira dengan kekalahan Islam dan merasa benci dengan tersebar dan menangnya Islam.
.
Orang yang melakukan perbuatan nifaq besar (kaum munafik) ini amat besar bahayanya terhadap Islam dan kaum Muslimin. Oleh sebab itu Allah سبحانه وتعالى menjanjikan azab seksa yang lebih berat dan pedih kepada kaum munafik itu melalui firmanNya:
إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ
“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu akan ditempatkan di dasar neraka yang paling bawah.” (Surah An-Nisaa’: Ayat 145)
Oleh kerana itu di awal-awal surah Al-Baqarah Allah سبحانه وتعالى bercerita tentang orang-orang kafir hanya dengan dua ayat, sedangkan tentang orang-orang munafiq dengan tiga belas ayat.
Kita menyaksikan orang-orang sufi, yang lahiriyah adalah orang-orang Islam, mereka melaksanakan solat dan puasa, tapi sebenarnya mereka sangatlah berbahaya, kerana mereka akan merosakkan aqidah umat Islam. Mereka membolehkan berdoa kepada selain Allah Azza wa Jalla, padahal perkara itu termasuk syirik besar; mereka mempercayai bahawa Allah سبحانه وتعالى berada di mana-mana dan menolak pemahaman bahawa Allah سبحانه وتعالى berada di atas ‘Arsy. Semua keyakinan mereka tersebut bertentangan dengan Al-Qur’an dan hadis sahih sebagaimana telah dibicarakan pada perbahasan sebelumnya.
.
.
2. Nifaq ‘Amali (Nifaq Kecil)
.
‘Nifaq ‘Amali’ atau nifaq kecil adalah kemunafikan yang bersifat amalan. Seseorang dikatakan melakukan perbuatan nifaq kecil apabila dia melakukan sebahagian perbuatan yang menjadi ciri dan karakter orang-orang munafiq tulen.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda : “Tanda-tanda orang munafiq ada tiga, iaitu: jikalau bercakap ia dusta, jikalau berjanji ia memungkiri dan jikalau diberi amanah ia berlaku khianat.” (Muttafaqun ‘alaih). Baginda ﷺmenambah dalam riwayat Imam Muslim: “Sekalipun orang itu berpuasa dan solat dan mengaku bahawa dirinya adalah seorang Muslim.”
Oleh sebab tidak seorangpun yang mengetahui isi hati seorang, maka Rasulullah ﷺ menghuraikan bahawa tanda-tanda kemunafikan ada empat jenis.
Empat jenis kemunafikan itu ialah:
1. Jika berbicara, dia dusta.
2. Jika berjanji tidak menepati.
3. Jika bertengkar atau bertentangan dengan seorang, lalu berbuat kejahatan.
4. Jika membuat sesuatu perjanjian lalu merosakkan atau membatalkannya sendiri iaitu tidak mematuhi isi perjanjian itu dengan sebaik-baiknya.
.
Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-‘ Ash radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:“Ada empat perkara, jika keempat2nya ada pada diri seseorang, maka dia adalah seorang munafiq tulen; namun apabila dari keempat itu hanya ada satu saja pada seseorang, maka dia hanya dikatakan mempunyai sifat nifaq sehingga ia meninggalkannya, iaitu jika diberi amanah ia berlaku khianat, jika berbicara ia dusta, jika berjanji ia mungkiri (tidak menepati) dan jika bertengkar (bertelagah) maka ia berbuat kecurangan (tidak mengikuti jalan yang benar lagi).” (Muttafaqun ‘alaih)
.
Dijelaskan oleh Baginda ﷺ. bahawa sesiapa yang mempunyai empat perkara itu keseluruhannya, maka ia benar-benar dapat digolongkan dalam kumpulan kaum munafik yang asli, tulen atau munafik sebenarnya, bagaikan emas kemunafikannya 24 karat. Tetapi apabila hanya satu perkara saja yang dimilikinya, maka ia telah dihinggapi penyakit kemunafikan tersebut.
Bentuk Nifaq ‘Amali boleh berupa perbuatan yang biasa dilakukan orang munafik atau salah satu daripada sifat mereka, yang dilakukan oleh seseorang yang masih beriman dan tidak meyakini sifat-sifat kekafiran seperti di atas. Misalnya berkata dusta, ingkar janji, khianat terhadap yang memberi amanat kepadanya atau berbuat curang apabila bertelagah.
Nifaq kecil tidak menyebabkan pelakunya terkeluar dari Agama Islam, tetapi itu termasuk dosa besar yang perlu dijauhi.
.
.
C. Perbezaan Antara Nifaq Besar Dengan Nifaq Kecil
.
1. Nifaq besar mengeluarkan pelakunya dari agama, sedangkan nifaq kecil tidak mengeluarkannya dari agama.
2. Nifaq besar adalah berbezanya yang lahir dengan yang batin dalam perkara keyakinan, sedangkan nifaq kecil adalah berbezanya yang lahir dengan yang batin dalam perkara perbuatan bukan dalam perkara keyakinan.
3. Nifaq besar tidak terjadi dari seorang Mukmin, sedangkan nifaq kecil boleh terjadi dari seorang Mukmin.
4. Pada umumnya, pelaku nifaq besar tidak bertaubat, seandainya pun bertaubat, maka ada perbezaan pendapat tentang diterimanya taubatnya di hadapan hakim. Lain halnya dengan nifaq kecil, pelakunya terkadang bertaubat kepada Allah, sehingga Allah سبحانه وتعالى menerima taubatnya.
.
At-Tirmidzi berkata, “Makna nifaq pada hadis di atas menurut para ahli hadis adalah nifaq dalam perbuatan saja. Adapun nifaq tulen adalah nifaq yang mendustakan ajaran Islam seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ.”
Allah سبحانه وتعالىberfirman:
صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ ﴿١٨
“Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 18)
.
.
D. Penutup
.
Kemunafikan adalah suatu penyakit rohani yang tidak dapat disembuhkan kecuali oleh orang itu sendiri. Kita dapat mengetahui seseorang itu dihinggapi oleh penyakit kemunafikan, hanyalah semata-mata dari tanda-tanda yang lahiriyah sahaja.
Orang munafik itu hakikatnya adalah orang yang memusuhi Agama Islam, menghalang dan mengganggu gugat perkembangan dan kemajuan Islam, tidak redha dengan kepesatan dan keluhuran Islam dan dengan segala usaha hendak mematikan Agama Islam. Itulah yang tersembunyi dan bersarang di dalam hatinya yang sebenar-benarnya. Hanya luarannya saja yang menampakkan dia sebagai penganut Islam yang setia.
.
Bagi Islam orang munafik tersebut adalah sebagai berbahaya. Dia boleh dianggap musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau menikam kawan dari belakang. Dalam hadis sebelumnya disebutkan bahawa salah satu sifat kemunafikan ialah: Jikalau amanah lalu berlaku khianat.
Penyakit kemunafikan itu tetap berjangkit dalam diri seorang selagi sifat-sifat buruk yang dinyatakan di atas tidak ditinggalkan, sekalipun orang tersebut mengerjakan solat, puasa serta mengaku bahawa dirinya adalah manusia Muslim.
Amat mudah dihinggapi sifat-sifat kemunafikan di atas dalam diri seseorang, tetapi sedarlah bahayanya amat besar sekali. Kerana itu, selagi masih ada salah satu penyakit kemunafikan itu menghinggapi seorang, maka ia tetap boleh dianggap sebagai orang munafik, jika penyakitnya itu tidak dilenyapkan sendiri, sekalipun taraf kemunafikannya masih rendah.
Jadi kemunafikan seseorang itu dianggap tinggi atau rendah, tulen atau tidak, perkara itu bergantung kepada banyaknya sifat kemunafikan yang dimiliki olehnya. Jelasnya kemunafikannya itu dapat diandaikan 10%, 30%, 50%, 79% atau kemunafikan tulen iaitu 100% dalam seseorang. Semoga kita semua dihindarkan dari sifat kemunafikan ini selama-lamanya.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اتَّقِ اللَّـهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا ﴿١﴾ وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا ﴿٢﴾ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِۚ وَكَفَىٰ بِاللَّـهِ وَكِيلًا ﴿٣
“Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 1-3)
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
via Bin Usrah
Blogger Comment
Facebook Comment