Lelaki Warga Malaysia Sudah 4 Tahun Tinggal di Pusat Beli Belah di Singapura, Guna Wi-Fi, Air & Elektrik Percuma Tanpa Dimarahi Pihak Pasaraya



SINGAPURA: Seorang lelaki warganegara Malaysia dikatakan tinggal di pusat membeli-belah Jurong Point di sini selama kira-kira empat tahun dan menggunakan bekalan air, elektrik dan Wi-Fi di sana.

Lelaki berusia 35 tahun itu, yang juga pekerja di sebuah kilang elektronik, menjadikan kawasan luar pusat membeli-belah itu sebagai 'rumahnya', lapor portal Lianhe Wanbao .

Lelaki yang berasal dari Ipoh itu sudah bekerja di Singapura selama lebih 10 tahun dan memperoleh pendapatan bulanan lebih S$1,000 (RM3,139).

Wanbao yang melawat pusat membeli belah di Jurong West itu menemui lelaki berkenaan duduk beralaskan surat khabar dan melihat telefon bimbitnya sambil minum air soya dan makan roti.

Lelaki itu memberitahu Wanbao bahawa dia menyewa sebuah bilik kongsi di Boon Lay tetapi mendapati bilik itu terlalu panas dan sempit.

Kata lelaki berkenaan lagi, dia lebih suka tinggal di Jurong Point kerana bilik di Boon Lay yang berharga S$250 (RM785) itu tidak elok dan hubungannya dengan penyewa lain tidak begitu rapat.

Dia berkata, keadaan di Jurong Point lebih sejuk selain buka lewat dan mempunyai sebuah pasar raya 24 jam.

Selain itu, dia juga berkata boleh menggunakan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma dan mengecas telefon bimbit di pusat membeli belah itu.

Seorang jurucakap untuk Jurong Point memberitahu The Straits Times bahawa mereka membenarkan Chen tinggal di sana selagi dia tidak mencetuskan sebarang gangguan.

"Kami gembira kerana pengunjung menikmati kemudahan yang disediakan.

"Jika dia menggunakan kemudahan kami dengan cara yang baik tanpa menimbulkan gangguan atau ancaman kepada keselamatan di pusat membeli-belah itu, kami amat mengalu-alukannya sama seperti pengunjung yang lain," katanya.

Lelaki berkenaan juga turut berkata dia tidak pernah dihalau dan berkata dia turut melihat individu lain tinggal di pusat membeli-belah itu sama seperti dilakukannya

Sumber: MStarLianhe Wanbao
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment