Lelaki Paling Tak Guna... "Kenapa kau x bunuh jer Aku"

Jam 7:35 malam.
Aku tahu aku sudah lambat untuk pulang ke rumah. Jalan pun sudah agak gelap. Aku berbelah bahagi hendak lalu jalan yang jauh tapi tak sunyi sebab banyak kedai berdekatan, atau jalan yang dekat tapi agak sunyi dan gelap. Tanpa lengah lagi, aku terus lalu di jalan yang lengang iaitu jalan yang kedua.
Bukan apa. Nak cepat. Kalau ikut jalan kedai tu, mahunya sampai lepas Isyak.
Silap aku juga, pakai kasut tumit tinggi. Tahu hari hujan, hari gelap jalan becak sana-sini, pakai juga. Nak buat macam mana, memang aku jenis stailo sikit. Perempuan kan. Dalam apa jua keadaan sekali pun hatta taufan melanda, mesti nak berandam nampak cantik di luar rumah. Dalam rumah, sorry. huhu
Aku berjalan cepat-cepat sebab nampak hujan pun dah nak turun makin lebat. Payung pun lupa bawa ni.
ZASSSS!
Tanganku ditangkap seseorang. Seorang lelaki berbadan tegap memegang kemas pergelangan tanganku. Entah datang dari arah mana. Telahanku, mungkin kaki hisap dadah ni. Nampak macam high semacam. Ku rentapkan tangan, tapi tidak berhasil. Meronta-ronta aku cuba melepaskan diri. Tapi, kudrat ini sekuat mana sangatlah.
Aku dah menangis-nangis. Buntu cara. Semua teknik yang aku tengok di Facebook cara-cara mempertahankan diri semuanya menipu. Tak menjadi langsung dan tak praktikal saat-saat kecemasan macam ni. Teori semata!
Habislah aku kali ni, habislah!
Tiba-tiba, ada lampu kenderaan dipancarkan ke arah kami berdua yang sedang bergelutan di tepian jalan nan gelap gelita. Lampu dari sebuah kapcai. Makin dekat. Seorang lelaki datang mendekati kami dengan menghayunkan helmetnya tepat ke kepala jantan yang sedang cuba mencabulku. Berkali-kali dihentaknya sampai jantan itu terbaring di tanah. Meleleh darah.
"Cepat! Lari dari sini!"
Itulah saatnya pertemuan antara aku dan jejaka gentleman yang telah menyelamatkan maruahku. Kami berkenalan selepas itu dengan lebih dekat. Baru ku tahu, dia seorang ustaz. Lulusan luar negara. Ku jangkakan, pastilah ilmu agamanya sejauh jarak lautan yang memisahkan antara Malaysia dan negara tempatnya belajar.
Ustaz Ajim (bukan nama sebenar). Katanya ambil undang-undang Syariah. Sekarang, sedang mengikuti kursus persediaan guaman sebelum turun ke lapangan yang sebenarnya.
Hubungan kami makin lama makin intim. Ustaz Ajim kata, kami kena kurangkan komunikasi. Elakkan dari berlakunya ikhtilat iaitu pergaulan yang tidak sepatutnya lebih dari batas-batas antara lelaki dan perempuan. Hinggalah suatu hari, Ustaz Ajim meluahkan rasanya padaku.
"Ana nak jadikan ukhti Izzati sebagai isteri ana. Insya-Allah, ana akan ke rumah ukhti untuk lanjutkan hasrat ini kepada ayahanda ukhti. Dalam tempoh ini, sebelum ana pergi jumpa tu, eloklah kita tidak berhubung dengan lebih kerap. Banyakkan istikharah dan solat hajat ya. Moga Allah kurnia kita Syurga."
Itulah yang Ustaz Ajim terus-terang dalam mesejnya di Whatsapp. Aku rasa, akulah orang yang paling bahagia di atas muka dunia ini. Apa tidaknya, bakal suamiku ustaz! Kacak bergaya, bakal peguam syariah pula tu! Subhanallah! Pasti semua rakanku cemburu denganku nanti.
Aku lurus saja, ikut segala arahannya. Tidak berhubung kecuali benda penting. Buat solat-solat yang diarahkannya. Aku nak jadi bakal isteri yang solehah. Dia buat aku berubah lebih baik. Tak adanya aku pakai high-heels lagi sekarang. Semua acah-acah muslimah punya.
Suatu hari, aku buat kek sedap istimewa untuk Ustaz Ajim. Aku ingat nak pergi hantar di pejabat tempat dia praktikal. Aku tak beritahu dia aku nak singgah. Buat kejutan untuk bakal suami. Gituh.
Setibanya aku di pejabatnya, dia tak ada. Kata rakan sepejabatnya, dia keluar makan dengan peguam praktikal yang lain. Di kafe berdekatan. Aku tak fikir banyak, terus berjalan dengan senang hati ke kafe berdekatan. Mesti rakan peguam dia bangga tengok bakal isteri dia nanti. Ya lah, aku ni bukannya buruk pun. Kalau jalan-jalan di mall tu, lelaki takkan tengok sekali pandang. Berkali-kali juga. Muka market jugalah.
Aku sampai di kafe berdekatan.
Tapi, hati aku luluh sedikit. Bila bakal suami aku sedang makan menghadap seorang perempuan. Cantik perempuan tu. Mungkin itulah 'rakan peguam' yang dikatakan.
Ustaz Ajim nampak aku. Dia berhenti makan. Dia datang dekat aku. Tarik tangan aku.
Tarik tangan aku? Selama ini, dia tak pernah sentuh pun tangan aku. Dia ustaz suci yang takkan buat perkara mungkar, dia tahu sentuh tangan ajnabi dosanya dahsyat di sisi agama. Aku cuba tarik tangan aku, tapi ramasan tangannya kuat sangat sampai merah-merah tangan ini. Dia cam kereta aku. Dia bawa aku sampai ke kereta. Dia minta kunci. Dia suruh aku masuk.
"Kenapa Izzati datang ke sini? Ana tak suka!"
"Ustaz, jelaskan pada Zati, siapa perempuan tu tadi sampai ustaz tarik tangan Zati macam ni sekali?!"
PANNGGG!
Dia hentakkan tangannya di bumbung kereta aku ni. Buat aku tergamam seketika. Diam tak terkata.
"Kau balik sebelum aku hangin! Balik!"
Aku gigil. Tapi, aku gagahkan untuk berikan padanya kek yang aku buat khas untuknya. Mata dah berkaca-kaca. Menitis air mata.
Dia ambil kek tu. Tapi, sekali lagi suruh aku beredar dengan nada tegas. Aku start kereta. Drive. Aku tengok dari cermin sisi aku, ustaz yang aku sanjungi buka tong sampah dan hunjamkan kek yang aku berpenat lelah seharian buat ke dalam tong sampah!
Tergamak!
Sepanjang jalan aku menangis bagai nak rak. Tapi, aku sayang Ustaz Ajim gila-gila. Sayang sehabis sayang. Aku marah diri aku, mungkin salah aku buat dia malu depan kawan dia. Jadi, dia jadi agresif. Sebab aku dah jatuhkan maruah dia. Aku fikir begitu. Serius aku fikir 180 darjah ke belakang.
***
Ustaz Ajim hubungiku minta maaf di malamnya. Aku dah agak. Ustaz Ajim tak salah. Aku yang salah. Aku maafkannya dan aku minta maaf atas perbuatanku.
Hubungan kami berjalan seperti biasa. Ikut aturan agama sebagaimana Ustaz Ajim mahukan. Aku taat kepada dia seperti seorang isteri yang mithali. Seperti harapkan redanya seorang isteri akan suami untuk masuk Syurga Ilahi.
Dari tudung singkat ke tudung labuh aku berubah. Demi bakal suami. Aku nak jadi yang terbaik.
DING!
Aku mendapat perkhabaran di Telegram rakanku. Dia ternampak bakal suamiku sedang menanti giliran di depan panggung wayang dengan seseorang. Katanya perempuan.
Mahu remuk hati aku saat itu juga. Aku bilang tidak percaya. Aku cakap kawanku itu dusta. Tapi, kawan aku marah aku balik, dia kata,
"Aku ni kawan baik ko, takkan aku nak musnahkan kebahagiaan kawan baik aku sendiri! Sebangang-bangang kawan kau ni, tak pernah lagi kawan kau ni tinggalkan kau dalam apa jua keadaan pun!"
Hampir saja aku bergaduh.
Aku start kereta. Pergi ke lokasi yang dikatakan. Aku tunggu sampai habis wayang pukul 2 pagi. Aku perhatikan betul-betul. Betul ke seperti yang dikatakan. Memang betul. Memang tepat.
Ustaz Ajim keluar berpegangan tangan dengan perempuan yang aku tengok tempoh hari. Mesra. Sangat mesra! Macam laki-bini! Aku dengan linangan air mata terus menerpa ustaz yang ku cintai di parkir lot. Kebetulan, wanita yang bersamanya ke bilik air. Ketika ustaz sedang menunggu, aku serbu dia.
"Ustaz, apa semua ni?!"
Dia terkejut. Sekali lagi dia tarik tangan aku. Aku cuba rentap tapi tak berjaya. Dia bawa aku ke kereta aku. Kali ini, aku melawan.
"Apa ni ustaz?! Kata nak kahwin dengan Zati, tapi keluar dengan betina lain?! Apa semua ni, janji palsu? Harapan palsu? Atau Izzati cuma sekadar mainan percintaan ustaz?!"
PANGGG!
Penampar singgah di pipiku. Berdarah terus bibir. Sikit pun Ustaz Ajim yang aku sanjungi ini tidak rasa bersalah.
"Aku janji kahwin dengan kau. Aku tak tipu! Tapi, sekarang aku ada kebebasan tersendiri. Aku bebas keluar dengan sesiapa yang aku suka. Dah cukup bagus, aku jaga kau seperti seorang perempuan yang cukup suci bak malaikat. Dah cukup bagus, aku tak nodai kau, tak tidur dengan kau. Dah cukup bagus, kita tak berzina!"
Kata-katanya mengejutkan aku. Dengan air mata yang bercucuran. Aku tak sangka, ustaz ini menunjukkan wajah sebenarnya. Ustaz yang ilmu agama penuh di dada. Aku macam tak percaya lelaki di hadapan aku ini adalah seorang ustaz!
"Ustaz tak takut dosa ke?"
Dia berang mendengar kata-kataku.
"Hoi perempuan, dekat setahun aku didik kau dengan ajaran agama supaya kau tak jahil macam betina sampah luar sana yang buka aurat bagai jadi instafamous selfie every single day! Aku dah selamatkan kau dari buat dosa berterusan! Aku keluar tengok wayang, makan-makan dengan perempuan lain kau dah bising, nak hukum aku berdosa besar?
Kau yang beriya-iya nakkan aku. Okay, kalau kau nak ustaz suci, kau carilah kalau ada. Kalau wujudlah. Aku boleh kahwin dengan perempuan lain. Kau boleh berambus dari hidup aku mulai sekarang!"
Ustaz Ajim tengking aku sampai aku terduduk. Aku segera capai kakinya. Merayu. Sebab aku terlalu cinta. Setahun sudah aku pupuk kasih dan sayang. Segala harapan, segala impian aku nak pakai baju pengantin segala bagai sampai semua details tentang alam perkahwinan -- ada ustaz dan diriku. Tanpa dia, segala cita-cita dan anganku musnah! Aku tak nak! Aku sayang dia! Aku cinta dia!
Dia tepis tanganku. Aku cuba kejar dia.
DUSHHH!
Penumbuk singgah di bahuku dengan begitu kuat sekali. Terpelanting aku ke sisi kesakitan. Ustaz Ajim bakal suamiku buat tanganku sampai tergeliat. Sakit sangat-sangat. Dalam raungan sayu,
"Kenapa ustaz tak bunuh saja saya ustaz, kenapa? Kenapa?!"
Aku cuma mampu menangis-nangis melihat ustaz pergi dari sisi. Tinggalkan aku tanpa daya berhampiran dengan keretaku. Tak pernah ada sesiapa pun dari keluargaku pernah mencederakanku sebegitu rupa.
Hampir seminggu lebam tak hilang. Seminggu jugalah aku demam. Bila mak ayah tanya, aku cakap aku jatuh tangga. Padahal, aku simpan sejuta duka dalam hati.
Tak sangka. Selama ini aku menyintai orang yang salah. Ustaz yang ku sangka malaikat, sebenarnya iblis dalam rupa bentuk orang agama. Penunggang agama semahunya.
Kawanku berang yang amat sangat. Dia kata,
"Lelaki yang dah mengasari fizikal sebelum nikah lagi, mandatori tidak layak dijadikan suami selamanya! Lelaki sejati sifatnya melindungi, bukan menyakiti! Psikotik!"
Lepas 3 bulan aku trauma menangis sendirian, bertemankan kawan baik yang sentiasa sudi mendengar, akhirnya aku pulih kembali. Dia ada buat cubaan untuk merayuku kembali. Katanya dia dah insaf. Dia nak taubat.
Tapi maaf.
Setelah hati ini dilukai berkali-kali.
Tak mungkin aku berpaling kembali.
Hati wanita ini, bila dia dah tekad, kau nak tukarkan dengan seluruh isi dunia ini sekalipun, sekali dia dah benci.
Selamanya takkan dia pandang lagi.
Hikmah besar.
Barulah kini aku mengerti, pasangan yang baik itu bukanlah orang yang sudah complete baik, pakej baik ustaz atau ustazah. Itu bukan baik. Itu cuma pekerjaan. Itu cuma sebuah posisi perjawatan.
Baik di sisi Allah adalah soleh dan solehah yang mana dinilai sepanjang hayat seseorang dan berhenti tatkala keluarnya roh dari jasad seseorang itu.
Ertinya, pasangan yang baik dengan yang baik --- mungkin kedua-dua atau salah seorangnya tidak baik di permulaan, namun sedia berubah dan berubah ke arah lebih baik bersama-sama hingga ke akhirnya.
Syurga, Allah tidak pernah kata ianya milik ustaz atau ustazah.
Ia milik kita seandainya kita bertaqwa!
cerita oleh: Muhammad Rusydi



Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment