PUTRAJAYA - Bagi yang pernah membeli, pastinya anda setuju bahawa menu-menu Auntie Anne's ini sedap tak terkata. Namun, adakah mereka memiliki Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)?
Azizah Mohamed semalam memuat naik beberapa screenshot yang menunjukkan bahawa Bahagian Hab Halal JAKIM telah memberikan respon terhadap persoalannya pada 30 Ogos lalu bahawa Auntie Anne's tidak memegang sebarang sijil halal dari JAKIM.
Dalam maklumbalas JAKIM pada 4 September lalu menyatakan bahawa premis Auntie Anne's bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
"Permohonan Halal dari mereka telah ditolak buat masa ini atas beberapa isu. Sama ada isu teknikal atau bahan mentah, kedua-dua isu ini tetap akan memberi kesan dan saling berkait rapat pada tahap kehalalan (halalan toyyiban) sesuatu produk.
"Sesuatu premis makanan tidak boleh mendakwa premis mereka halal sama ada melalui penggunaan logo atau ungkapan yang boleh mengelirukan pengguna Islam melainkan selepas mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia," kata kenyataan itu.
Menurut Azizah, beberapa tahun yang lalu dia pernah bertanya pada seorang pekerja premis berkenaan mengenai status halal mereka.
"Katanya masih dalam permohonan dan tahun ini saya singgah lagi mencari sijil halal yang ditunggu sekian lama. Nampaknya masih belum ada," katanya sebelum mengambil inisiatif sendiri untuk bertanya pada Bahagian Hab Halal JAKIM.
Azizah pada awalnya enggan mendedahkan maklumbalas yang diperolehnya dari pihak JAKIM itu. Cukuplah sekadar dia dan keluarganya saja yang tahu mengenainya.
"Apabila melihat saudara seagama saya beratur panjang di hadapan premis ini, rasa bertanggungjawab pula untuk berkongsi. Moga apabila disoal di akhirat kelak, saya boleh menjawab, 'ini usaha setakat kemampuan saya'," katanya. - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment